Selepas sesi konsultasi bisnes kepada seorang rakan dalam salah sebuah anak syarikat Kumpulan Pendidikan ABS petang tadi, tiba-tiba saya teringat bagaimana bonda saya membangunkan rangkaian tadika beliau sendiri di seluruh negeri Kelantan. Beliau hanya berkelulusan STPM dan pernah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perguruan. Namun beliau menolak tawaran tersebut selepas dipinang oleh abah.
Sebelum memulakan bisnes tadika, beliau mengambil upah menjahit. Biasanya selepas Maghrib, Mak akan tidur. Abah akan memotong semua kain ikut pola yang sudah Mak sediakan. Sebelum Abah masuk tidur, beliau akan kejutkan Mak. Jadi Mak akan mula menjahit pada tengah malam sehinggalah Subuh. Selepas suami ke tempat kerja dan anak-anak ke sekolah barulah Mak akan tidur.
Tepat jam 3 petang, anak-anak murid Mak pula memenuhi ruang tamu rumah. Mak ajarkan Bahasa Inggeris kepada mereka. Ada di kalangan mereka bukan duduk di kampung kami, ada yang datang dari kampung seberang. Ada yang bersekolah rendah, ada juga yang bersekolah menengah.
Tuisyen Bahasa Inggeris yang Mak kendalikan di rumah akan tamat pada jam 5 petang. Saya masih ingat ada kalanya Mak membantu orang dewasa bercakap dalam Bahasa Inggeris. Yang saya tak boleh lupa, sekumpulan doktor houseman pernah datang ke rumah mengambil tuisyen perbualan Bahasa Inggeris.
Sehinggalah pada tahun 1996, Mak dilamar seorang angel investor yang berminat dengan cara Mak mengajar. Bermula dengan pusat tuisyen kepunyaan angel investor tersebut, Mak semakin melebarkan sayap. Bidang jahitan ditinggalkannya. Fokus kepada tuisyen Bahasa Inggeris. Pada tahun 1998, angel investor ajak Mak buka tadika. Akhirnya tadika Mak yang pertama dibuka di Telipot dengan nama Pusat Kanak-Kanak Cemerlang.
Mak tidak pernah masuk mana-mana kelas bisnes. Namun mak dapat kembangkan bisnes tadika beliau. Kesemua cawangan tadika beliau ‘full house’. 8 cawangan kesemuanya.

Saya masih ingat, di dalam beg tangan Mak pasti akan ada flyers dan brosur mengenai tadika beliau. Ke hospital, klinik, pasaraya hatta, ke pasar pun, dengan muka sentiasa tersenyum beliau akan beritahu tentang tadika beliau kepada si penjual, sambil menghulurkan flyers brosur tersebut.
Bukan itu sahaja, Mak juga menghasilkan Program Mudah Membaca Bahasa Inggeris yang dinamakan English For Everyone. Program ini diilhamkan selepas melatih ratusan anak-anak Kelantan membaca.
Ohhhh….mak juga suka bawa tudung sulam dan jubah sulam setiap kali balik kampung. Beliau hanya tunjuk-tunjuk sahaja tudung dan jubah tersebut pada saudara mara dan sahabat handai di kampung. Ada yang diberi percuma. Ada pula yang mak buat duit.
Pelajaran paling penting yang saya pelajari daripada Mak tanpa Mak mengajar saya, ialah;
- Kuasai 1 kemahiran utama sehingga tahap masteri.
- Mahirkan diri kita dengan sekurang-kurangnya 2 atau 3 lagi kemahiran lain. Pelajari yang asas sahaja.
- Pelbagaikan revenue streams bisnes kita.
- Mulut sentiasa mesti manis, hati mesti baik.
- ‘Work hard’ – kerja keras dan bersungguh-sungguh, pasti berhasil.
- ‘Work smart’ dengan pandai bekerjasama dan kolaboratif dengan manusia lain.

