Manusia tidak pernah berhenti untuk belajar. Sedari dalam kandungan ibu lagi hingga usia mengengsot ke tua, manusia sentiasa belajar. Banyak cabang pendidikan dan pelbagai isu yang perlu dihadapi dan ditangani. Setiap masalah, pasti ada penyelesaian. Setiap penyelesaian, pasti ada peluang bisnes.
Uniknya dalam bisnes pendidikan, pengusaha mesti seorang yang mempunyai kredibiliti. Bisnes pendidikan adalah mengenai TRUST atau kepercayaan. Pelanggan mesti percaya dan yakin dengan nilai yang ditawarkan sebelum pelanggan membuat keputusan untuk membeli. Sekiranya seseorang itu mempunyai kriteria dan pengalaman berkaitan, beliau lebih mudah dipercayai oleh pelanggan.
Bolehkah kita memulakan bisnes dengan sumber terhad dengan modal yang rendah? Bolehkah kita mengusahakan bisnes tadika atau taska? Ataupun pusat tuisyen atau akademi pendidikan yang lain?
Jawapannya, sudah tentu boleh. Sebaik-baiknyanya mulakan dengan apa yang ada di tangan. Jangan bakar modal besar kerana ini bisnes pertama. Cabar dahulu keupayaan diri dengan berbisnes dalam skala kecil. Jangan terus sewa premis sebelum benar-benar pasti keupayaan dan bakat bisnes kita.
Kemahiran mengurus bisnes tidak sama dengan kemahiran mengajar atau kemahiran mendesain modul.
Langkah 1:
Pilih perkara yang mudah dilakukan.
Mulakan dengan mengajar tuisyen di rumah sendiri atau di surau-surau berhampiran. Atau mendesain modul-modul tertentu, seperti modul hafazan bercerita. Buat program usaha sama dengan mana-mana pusat tuisyen yang boleh menyewakan premis mereka kepada kita. Ataupun menganjurkan program-program pembelajaran secara mingguan atau setiap kali musim cuti persekolahan.
Mulakan dengan beberapa orang murid. Apabila ibu bapa berpuas hati, pastinya mereka akan memberitahu rakan-rakan mereka. Dengan itu, pelbagai jenis perkhidmatan pendidikan boleh ditambah dan dibuka kepada pelbagai peringkat usia.
Langkah 2:
Pilih pasukan bisnes.
Sudah pasti kita tidak mampu mengajar seorang diri. Tugasan mengajar sudah boleh diserahkan kepada pelajar universiti dengan bayaran setimpal. Atau guru sekolah yang berminat menambahkan pendapatan. Cari dan pilih tim pasukan yang fokus kepada sesi pengajaran dan pembelajaran. Latih mereka menggunakan modul yang spesifik. Dorong mereka berinovasi dan menghasilkan pelbagai modul pelatihan atau cara mengajar yang interaktif. Apabila murid rasa gembira dan pembelajaran berkesan, ibu bapa tentu yakin dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
Langkah 3:
Bina kredibiliti diri.
Membina kredibiliti diri secara ‘online’ atau ‘offline’ meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap kita. Kepercayaan ini merupakan modal sosial yang penting selain wang modal. Bisnes bukan hanya mengenai jualan. Bisnes adalah mengenai kepercayaan dan hubungan yang berpanjangan. Tulis blog mengenai perkhidmatan yang ditawarkan. Sentiasa aktif di beberapa media sosial, seperti Facebook, Instagram, YouTube, Pinterest dan sebagainya. Penjenamaan produk atau perkhidmatan juga perlu seiringan dengan peningkatkan kredibiliti diri.
Katakan bisnes yang kita bangunkan adalah bisnes tuisyen di rumah. Banyakkan menulis tentang keistimewaan yang ditawarkan kepada murid yang mengikuti tuisyen kita. Banyakkan memberi laporan-laporan positif. Pelanggan yang gembira akan bercerita mengenai perkhidmatan kita kepada orang lain.
Langkah 4:
Kerja orang bisnes adalah berkawan-kawan.
Kerja hakiki orang bisnes adalah melebarkan jaringan, kenalan dan membina ‘tribe’ atau pengikut. Berkawan-kawanlah dengan sasaran pelanggan anda. Sasaran pelanggan mungkin berada di pejabat-pejabat, sekolah-sekolah atau pusat komuniti lain. Berkawan-kawan dengan orang-orang yang bakal menjadi ‘agen’ anda. Apabila tiba cuti sekolah, kem sehari pasti memberikan pulangan yang lumayan. Semakin ramai anda berkawan dengan orang, semakin banyak pelanggan anda.
Langkah 5
Bina, bangunkan dan kembangkan syarikat.
Apabila ‘networking’ sudah besar, duit modal juga sudah terkumpul. Pastinya pada tahap ini kita sudahpun mampu menyewa premis perniagaan. Maka bermulalah episod baru dalam hidup kita. Bisnes ‘start up’ yang kita mulakan sebelum ini bakal berevolusi.
Pada tahap ini kita akan fokus kepada pembangunan bakat-bakat baharu, pencarian rakan kongsi serta rakan niaga yang boleh membuatkan syarikat kita berkembang. Kita juga akan mencipta sistem bisnes yang mampu bekerja sendiri tanpa kehadiran kita.

