IMG 20191228 183116 768x1024

Bagaimana menurunkan kuasa?

Apabila kita bangunkan sebuah bisnes, pastinya kita tidak boleh melakukan semua perkara berseorangan. Kita juga tidak boleh pandai dalam semua perkara. Kita ada kekuatan tertentu dan kita fokus dalam bidang yang kita mahir.

Membangunkan sebuah bisnes dalam satu syarikat memerlukan satu pasuka kerja yang dinamik & harmoni. Sebagai pendiri bisnes, salah satu kemahiran yang perlu ada adalah kemahiran MEMIMPIN.

“The ones who are the true entrepreneurs, are those individuals who make the biggest impact to society in a positive manner, to touch peoples live’s and improve it for the better.” Awaken The Greatness Within

Usahawan sebenar akan melahirkan lebih ramai usahawan atau manusia yang lebih cemerlang. Usahawan sebenar memimpin. Ada beza antara usahawan sebenar dan pemilik bisnes yang semata-mata berniaga. Mereka hanya mengurus bisnes mereka, tidak memimpin, tidak memberi inspirasi sebaliknya hanya mengarah-arah supaya semua pekerja mengikut telunjuk mereka.

Mengarah pekerja lebih mudah dilakukan daripada mengajar & melatih mereka. Ramai orang beranggapan apabila kita ajar & latih pekerja, mereka akan jadi pandai dan mereka akan berhenti kerja, seterusnya membuka bisnes yang sama, lantas menjadi pesaing kita pula.

Ini normal.

Pekerja yang pandai & bijak, mereka bukan hanya mahukan gaji, elaun, komisen dan bonus. Mereka mahu KUASA. Kajian membuktikan pekerja yang mempunyai ‘ownership’ dalam syarikat, kepuasan mereka bekerja lebih tinggi.

Jadi, bagaimana mahu beri kuasa kepada mereka? Nanti, apabila beri kuasa, mereka pijak pula kepala kita.

Ikut 5 langkah di bawah supaya penurunan kuasa menjadi lebih efisien dan sebagai pendiri bisnes, kita boleh fokus kepada kerja-kerja hakiki kita:

Ini yang saya lakukan:

Langkah pertama:
Pastikan bisnes kita diuruskan dengan betul. Walaupun bisnes kecil dengan pejabat sebesar bilik tidur kita dengan 2 orang pekerja, tetap kita perlu urus bisnes kita ala-ala korporat.

Penubuhan syarikat dibuat dengan betul, SSM, perlesenan dengan PBT, pekerja ada KWSP & SOCSO, tidak mencampur adukkan duit personal & duit bisnes, mempunyai rekod LHDN & Zakat, dokumentasi SOP yang tersusun & laporan kewangan yang konsisten.

Buat ini dahulu. Pastikan semua ini ada rekod dan ada failnya, walaupun TAK SEMPURNA.

Langkah kedua:
Pelantikan staff melakukan kerja sebagaimana yang telah disenaraikan dalam jobscope. Jobscope yang diberikan kepada staff perlu disekalikan dengan KUASA. Kuasa untuk mereka buat keputusan di dalam ruang lingkup jobscopenya itu.

Sebagai contoh, katakan Liza dilantik sebagai pengurus tadika cawangan A. Sebagai pendiri bisnes, sudah tentu kita siapkan SOP pembayaran yuran untuk dipatuhi oleh semua pengurus cawangan tadika kita itu. Apabila pelanggan minta diskaun, Liza yang akan buat keputusan. Beliau boleh berbincang dengan kita jika perlu.

Ada juga situasi di mana staff takut mahu buat keputusan. Ini kita akan bincang dalam entri yang lain.

Langkah ketiga:
Rancang atau bina cara pembahagian keuntungan yang lebih efektif & mempunyai kuasa dorongan kepada staff. Jika di ABS, kami belajar menggunakan perkongsian keuntungan atau ghanimah.

Ianya adalah aplikasi daripada bagaimana Nabi Muhammad SAW melakukan pengagihan harta rampasan perang selepas perang tamat dan kemenangan berpihak kepada orang Islam.

Ada formula pengagihannya mengikut peranan setiap ahli projek. Ini merupakan ganjaran material bertujuan memberi motivasi supaya setiap ahli pasukan terdorong bekerja keras mencapai sasaran projek.

Ghanimah sesuai diaplikasikan dalam projek.

Ada juga syarikat besar yang membuat penawaran syer kepada staff yang berpotensi juga boleh dilakukan. Ini juga boleh dilakukan. Namun perlu kita pastikan dokumentasi & perekodan yang betul dibuat terlebih dahulu.

Langkah keempat:
Tentukan dengan jelas mana kuasa yang dibuat oleh staff. Staff harus faham kuasa hakiki pemilik bisnes yang meliputi perkara-perkara yang melibatkan polisi, dasar syarikat dan pelaburan baru.

Ini perlu dijelaskan secara bertulis dan diterangkan secara lisan. Semua satff perlu faham.

Langkah kelima:
Tutup sebelah mata pada kesilapan-kesilapan kecil yang mereka lakukan.

Ini kos yang harus kita tanggung di dalam proses melatih staff melakukan kerjanya dengan EFEKTIF. Beri maklumat bagaimana perkara tersebut perlu dilakukan dengan betul. Dorong mereka supaya melakukan perkara rutin dengan lebih baik dan efisien. beri nasihat hanya apabila diminta oleh mereka.

Namun, perlu ingat, Jika staff kerap kali melakukan kesilapan yang sama, tanya diri kita semula, apa pasal ambil staff ini bekerja dengan kita?

Kata kunci di sini sebelum mahu menurunkan kuasa kepada staff:
1. Urus bisnes dengan betul
2. Tentukan jobscope staff
3. Buat penyerahan kuasa
4. Jangan sabotaj kuasa yang sudah diturunkan itu
5. Tutup mata pada kesilapan kecil

Selamat menjadi pemimpin bisnes yang membina pengaruh dan jaringan persahabatan!