Usahawan bukan hanya mengusahakan sesuatu perniagaan. Malahan mereka berperanan mengembangkan syarikat perniagaan mereka supaya meninggalkan legasi kepada ramai orang. Usahawan adalah pembina bisnes. Mereka memastikan syarikat mereka berkembang dan membesar. Objektif mereka supaya ramai orang mendapat manfaat daripada perniagaan yang mereka bangunkan ini.
McClelland (1961) menyatakan usahawan adalah mereka yang berdaya inovatif dan mempunyai keinginan untuk mencapai kejayaan yang tertinggi (high need for achievement). Schumpeter (1934), mentakrifkan usahawan sebagai individu yang melakukan pembaharuan atau inovasi untuk kesejahteraan organisasinya sendiri.
Usahawan tidak hanya mengejar keuntungan. Berbeza dengan peniaga yang fokus membuat untung dalam setiap tindakan mereka. Gaya pengurusan di antara peniaga dan usahawan juga berbeza. Usahawan akan menurunkan beberapa kuasa kepada rakan kongsi dan pekerja mereka supaya mereka menjadi tim pasukan yang sama-sama membangunkan syarikat tersebut. Usahawan dan pembina bisnes adalah pemimpin dalam organisasi syarikat. Sebagai pemimpin, mereka perlu mendorong ‘partner’ dan ‘staff’ mereka bekerja kuat untuk syarikat serta membuat keuntungan
Biasanya, usahawan yang memilih pendidikan sebagai bisnes mempunyai falsafah perjuangan tertentu. Mereka percaya melalui pendidikan mereka boleh mencipta pembaharuan dan menghasilkan generasi mengikut acuan falsafah mereka.
7 tindakan di bawah adalah di antara tindakan yang mesti dibuat oleh usahawan bisnes pendidikan demi memastikan kejayaan syarikat.
Tindakan 1: Susun organisasi syarikat
Pastikan setiap orang faham posisi mereka dalam syarikat. Walaupun syarikat baru ada 3 pekerja. Dengan penyusunan ini mereka akan lebih jelas tentang tugasan & tanggungjawab mereka.
Tindakan 2: Budaya memberi laporan
Jadikan memberi laporan itu sebagai budaya di syarikat kita. Dengan adanya laporan-laporan ini memudahkan kita memantau perkembangan syarikat, prestasi staf dan ‘partners’ serta menyusun perancangan.
Tindakan 3: Penyediaan SOP
Adanya standard operating procedure (SOP) atau prosedur operasi yang seragam membantu pengusaha mengurus bisnes dengan berkesan. SOP bertindak sebagai suatu sistem yang membolehkan perniagaan berjalan secara automatik. Dengan adanya SOP, kita boleh meminimakan risiko.
Sebagai contoh, pembayaran yuran bulanan diuruskan oleh staf. Tanpa SOP, kemungkinan besar kita tidak perasan sebarang kebocoran duitkuripan bulanan tersebut. Ini disebabkan sukar mengenalpasti ketirisan yang sedikit dalam tempoh pendek. Lama-kelamaan baru kita akan tahu kebocoran tersebut. Namun, dengan adanya SOP, kita dapat kenalpasti isu tersebut lebih cepat.
Dengan adanya SOP, lebih mudah untuk kita delegasikan sesuatu kerja dan tanggungjawab. Penurunan kuasa dan penyerahan tugas akan lebih mudah dijalankan apabila syarikat mempunyai SOP.
Tindakan 4: Turunkan Kuasa
Turunkan kuasa kita kepada mereka mengikut posisi dan tugasan mereka. Mereka perlu membuat keputusan di atas perkara yang mencakupi ruang lingkup tugasan mereka. Kuasa pembina bisnes biasanya meliputi perkara yang melibatkan polisi dan dasar syarikat serta pengeluaran wang syarikat atau pembelian barang yang besar jumlahnya.
Tindakan 5: Beri Ruang Berinovasi
Pemimpin sewajarnya beri ruang dan kebebasan yang sewajarnya kepada staf semasa menjalankan kerja. Apabila sudah diberikan kuasa kepada mereka, biarlah mereka membuat keputusan.
Pemimpin sewajarnya memudahkan proses ini tanpa mengajar-ajar. Jika mereka melakukan kesilapan sewaktu pertama kali menjalankan kerja tersebut, tunjukkan sahaja cara betul melakukan kerja tersebut.
Tindakan 6: Serap Kos Kesilapan
Setelah kerja didelegasi kepada mereka, serap semua kos kesilapan mereka. Tutup sebelah mata pada kesilapan. Jalan terus tanpa menyiasat kesilapan yang dilakukan mereka.
Tindakan 7: Pembahagian Pendapatan Yang Lebih Efektif
Bina pembahagian pendapatan yang lebih efektif untuk dikongsikan dengan staf dan ‘partners’. Bonus, komisyen dan elaun salah satu caranya. Kesan dari pembahagian pendapatan yang betul, prestasi dan dorongan pekerja akan meningkat.
Dengan 7 langkah di atas, seorang usahawan bukan sahaja menguatkan pasukan bisnes namun mereka berupaya mengembangkan lagi inisiatif bisnes mereka.
Barisan organisasi yang mantap memberikan laporan berkala akan memudahkan pemantauan kerja dan pencapaian syarikat. SOP yang lengkap dan sentiasa dikemaskini akan memudahkan lagi proses mendelagasikan kuasa kepada staf.
Kuasa, ruang inovasi dan ruang belajar yang luas serta perkongsian pendapatan membuatkan staf berasa sebahagian daripada syarikat.
Hasilnya, syarikat lebih mudah berkembang.


