Sekitar Tabs 3

8 Langkah Memulakan Bisnes Tadika

Bisnes tadika merupakan satu perniagaan yang menjadi pilihan ramai, memandangkan ianya sudah menjadi keperluan kepada ibubapa. Terutama ibubapa hari ini yang memilih untuk bekerjaya dan mencari bantuan untuk mengajar & melatih anak-anak.

Ada orang kata bisnes ini kalis ekonomi. Maknanya, situasi ekonomi macam manapun, orang tetap akan hantar anak ke tadika. Ada betul, ada salah kata-kata ini.

Dalam entri kali ini, saya akan fokus kepada bagaiman mahu membuka bisnes tadika. Ramai orang ingat buka tadika mudah – hanya bayar deposit premis, beli perabot & kelengkapan murid, ambil staff untuk dijadikan guru dan bukalah tadika.

Tidak, ia tidak semudah itu. Berapa ramai orang buka tadika, namun berapa ramai juga yang memilih untuk menutup kembali bisnesnya selepas setahun atau 3 tahun beroperasi.

Jadikan langkah-langkah di bawah sebagai panduan sebelum memilih untuk membuka bisnes tadika:

Langkah 1 : MINDSET

Ramai yang ingat bahawa modal duit adalah yang utama, namun sebenarnya MINDSET memainkan peranan utama dalam membuka apa-apa bisnes lebih-lebih lagi bisnes dalam industri pendidikan seperti tadika. Siapkan diri dahulu terutama dari sudut pengetahuan tentang pengetahuan tentang pendidikan awal kanak-kanak, mengenai bisnes tadika, dan kemahiran pengurusan yang diperlukan dalam industri ini.

Langkah 2 : PEMILIHAN LOKASI

Ini yang paling penting. LOKASI perlu mudah dicapai. Berapa banyak tadika perlu ditutup kerana lokasi tidak sesuai; perlu melalui banyak bonggol sebagai contoh, jalan yang terlalu sesak walaupun lokasi strategik ataupun berada di jalan mati yang melambatkan pergerakan keluar masuk ibubapa terutama sewaktu pagi menghantar anak.

Pilih lokasi yang selamat, jauh dari risiko kemalangan dn kecederaan. Udara yang bersih dan nyaman serta jauh dari pencemaran bunyi adalah satu bonus. Perlu mendapat kebenaran & sokongan penduduk sekiranya memilih premis di dalam kawasan perumahan.

Langkah 3 : KAJIAN PASARAN

Sebelum mengesahkan lokasi yang kita pilih, pastikan kita membuat kajian pasaran terlebih dahulu. Kajian ini penting bagi memastikan terdapat permintaan terhadap perkhidmatan tadika yang akan kita jalankan nanti.

Langkah 4 : ISI BORANG JPN

Layari laman web kementerian dan muat turun borang penubuhan tadika yang disediakan.

Langkah 5 : PENDAFTARAN PERNIAGAAN ATAU SYARIKAT

Pergi ke SSM untuk mendaftarkan perniagaan tuan puan melalui Pegawai Pendaftar. Biasanya bisnes tadika persendirian didaftarkan di bawah Enterprise. Namun, ianya bergantung kepada rancangan bisnes kita. Mulakan dahulu dengan Enterprise. Lebih murah & lebih cepat. Ingat! Selepas bisnes kita berkembang, binalah SYARIKAT, samada PLT atau SDN BHD.

Jangan lupa buka akaun bank bisnes kita menggunakan nama yang sudah didaftarkan di SSM. Letak duit modal kita di situ. Bermulalah dengan tidak mencampur adukkan duit bisnes & duit peribadi. Ini akan diterangkan lanjut dalam entry yang lain

Langkah 6 : LESEN PERNIAAGAAN.

Apabila menjalankan perniagaan kita tidak boleh lari dari pihak berkuasa tempatan. Buat permohonan di pejabat daerah atau  perbandaran, jabatan kesihatan dan jabatan bomba di daerah tuan puan membuka bisnes tadika.

Langkah 7 : LESEN TADIKA

Bagi menjalankan bisnes tadika secara sah, pengusaha perlu mendapat lesen tadika dari Jabatan Pendidikan Swasta. Setiap pengurusan tadika tertakluk kepada garis panduan pengendalian tadika yang dikeluarkan oleh kementerian pelajaran.

Apabila semua lesen dan surat kelulusan diperolehi barulah perkhidmatan tadika dapat dijalankan secara sah.

Langkah 8 : RANCANGAN PERNIAGAAN

Bagi memastikan bisnes tadika ini terus bertahan dan berkembang, kita sebagai pendiri bisnes perlulah ada perancangan. Dalam bisnes kita panggil perancangan strategik. Banyak template perancangan strategik yang tuan puan boleh dapati di Google. Jika masih keliru, boleh dapatkan konsultasi daripada pihak kami.

Sebenarnya, tidak sukar untuk membuka bisnes tadika apabila kita tahu langkah-langkah yang betul. Memulakan bisnes mestilah dengan visi yang betul supaya bisnes ini boleh bertahan dan berkembang dengan baik selaras dengan perancangan kita.