Aliran pendapatan yang baik adalah denyut nadi memastikan sesebuah bisnes dapat berjalan dengan lancar dan tahun ke tahun bisnes ini dapat berkembang.
Posting ini tentang bagaimana sesebuah bisnes boleh mempelbagaikan aliran pendapatan.

Dalam petak ke 5 Business Model Canvas, kita dianjurkan supaya mempelbagaikan aliran pendapatan (revenue streams). Dari masa ke semasa, aliran pendapatan boleh dipelbagaikan berdasarkan sumber & aktiviti hakiki syarikat kita.
Apakah maksud pendapatan?
Pendapatan bermaksud kutipan wang masuk yang dijana oleh aktiviti-aktiviti bisnes ke dalam syarikat kita. Jika kita menjalankan bisnes tadika, setiap bulan pendapatan kita jumlah kutipan yuran pengajian, yuran aktiviti, serta penjualan buku, pakaian seragam dan lain-lain. Setahun sekali, kita akan dapat kutipan yuran tahunan & yuran pendaftaran.
Saya beri contoh yang lebih mudah. Katakan bisnes kita menjual nasi ayam. Berapakah nasi ayam yang kita jual sehari? Katakan sebungkus nasi ayam, harganya RM8. Sehari kita dapat jual 100 bungkus nasi ayam, maka jumlah pendapatan kita ialah RM 800.00 sehari.
Katakan kita berniaga selama 20 hari. Sudah pasti ada hari yang kita tidak dapat menghabiskan 100 bungkus nasi ayam, manakala ada hari kita mampu menjual sehingga 120 bungkus nasi ayam. Kita anggarkan sebulan jumlah pendapatan yang kita perolehi sebagaimana berikut:
RM 8.00 x 100 bungkus x 20 hari
= RM 16,000 sebulan x 10 bulan
= RM 160,000 setahun (dengan andaian kita cuma berniaga 10 bulan sahaja untuk setahun.
Jadi jumlah pendapatan bulanan kita ialah RM 16,000.
Manakala jumlah pendapatan tahunan pula ialah sebanyak RM 160,000.
Ini adalah pendapatan KASAR.
Jika tolak dengan jumlah semua jenis kos yang terlibat di dalam menjual nasi ayam kita ini, barulah kita akan dapat jumlah pendapatan BERSIH.
Sekarang, bolehkah tuan/puan kira berapakah jumlah perolehan tahunan bisnes tuan/puan?
Ingat! Pendapatan bukan keuntungan. Perlu faham beza pendapatan kasar dan pendapatan bersih.
Apakah aliran pendapatan?
Aliran pendapatan bermaksud bagaimana cara duit masuk ke syarikat kita. Apakah aktiviti-aktiviti bisnes syarikat kita lakukan yang menjana pendapatan?
Terdapat pelbagai aliran pendapatan yang boleh kita cipta. Antaranya:
- Jualan produk / servis perkhidmatan
- Sewa
- Yuran langganan
- Yuran lisensi / penggunaan
- Dividen
- Affiliate, komisen
Balik semula kepada bisnes tadika & nasi ayam di atas, apakah & berapakah jenis aliran pendapatan yang boleh dijana oleh bisnes tersebut?

Bagaimanakah kita boleh mencipta pelbagai jenis aliran pendapatan?
Kita hanya boleh mempelbagaikan sumber pendapatan kita apabila kita memahami bagaimana BMC atau Business Model Canvas berfungsi.
Dengan mengambil kitajenis segmen pasaran kita atau jenis-jenis akjtiviti yang ada dalam bisnes kita ataupun jenis sumber yang kita ada, kita boleh pelbagaikan punca pendapatan bisnes kita.
Sebagai contoh, adik saya adalah pembekal kelapa. Selain beliau membekal kelapa parut & santan kepada restoran, warung, katerer dan kedai runcit beliau juga mempelbagaikan aliran pendapatan dengan mempelbagaikan jenis segmen pasaran beliau;
- Jual tempurung kepada pembekal arang
- Kelapa yang rosak, dijual kepada orang kampung yang membuat perusahaan kecil-kecilan minyak kelapa
- Sabut pula dijual kepada pengusaha nurseri
- Hampas dibekalkan kepada pengusaha binatang ternakan seperti itik & angsa.
Contoh lain;
www.edumall.com.my adalah salah satu channel Kumpulan Pendidikan ABS. Asalnya, e commerce ini dibangunkan untuk menyediakan sistem pengurusan jual beli merchandise Tadika ABS kepada semua pengusaha Tadika ABS.
Kemudian dengan kepelbagaian produk dibuka juga kepada umum dengan menggunakan sumber yang sedia ada.
Hikmah PKP, pembelian melalui e commerce ini meningkat, tatkala pendapatan tadika, sekolah serta program-program latihan merosot.
Ini memberi peringatan kepada kita, apabila menjalankan bisnes, mesti membuat pelaburan untuk bisnes berkembang melalui strategi mempelbagaikan sumber pendapatan.
Ha…. sekarang cuba tuan/puan senaraikan aliran pendapatan lain yang boleh kita bina daripada bisnes nasi ayam.
Boleh hubungi saya jika mahu mengesahkan jawapan tuan/puan.