girl, face, colorful

Kisah Aina & Ekzema

Aina (8 tahun) murid baru mendaftar di Akademi Bakat ABS, Kampus Bangi. Hari pertama beliau tiba ke sekolah, beliau tersenyum-senyum. Sepanjang perjalanan dari rumah ke sekolah baru, wajah beliau sentiasa tersenyum girang. Tambah-tambah lagi, tanpa perlu memakai pakaian seragam sekolah dan bawa beg berat. Sesi pagi dimulakan dengan solat dhuha dan bacaan al ma’thurat.

Kemudian beliau bersama rakan-rakan yang lain dibahagikan kepada 4 kumpulan; yang pertama akan belajar menyediakan makan pagi sehingga menghidangkan kepada rakan-rakan lain. Kumpulan kedua pula belajar menanam dan bertani, manakala kumpulan ketiga dan keempat melakukan aktiviti fizikal. “Eh, tak perlu masuk kelaskah?” getus hati kecilnya.

Apabila tiba jam 10, mereka akan berkumpul di dewan makan. Makan pagi bersama dan basuh sendiri pinggan dan cawan yang telah digunakannya. Barulah masuk kelas.


Di dalam kelas pula, pelbagai aktiviti dilakukan oleh Aina bersama rakan-rakannya. Ada kala beliau buat eksperimen mengggunakan benda-benda biasa yang berada di sekitar sekolah, ada kala guru membawa mereka ke luar kelas. Ada kala beliau dan kawan-kawannya bertukang, melukis, bersajak, bercerita, dan yang paling beliau suka adalah BERMAIN.

8 bulan telah berlalu, suatu hari ibu beliau datang ke sekolah dan berjumpa guru. Ibu beliau mengucapkan terima kasih kepada guru seraya berkata, “Biasanya Aina kerap perlu ke klinik. Beliau menghidapi asthma dan eczema yang serius. Sudah lama Aina tidak hadapi sesak nafas, dan gatal-gatal pada kulitnya juga semakin berkurangan. Baru-baru ini saya bawa ke klinik untuk rutin pemeriksaan kesihatannya. Doktor yang merawat Aina melihat banyak perubahan pada Aina, ekzemanya semakin berkurangan, malahan sudah 8 bulan beliau tidak diserang asthma.”

Ibu Aina juga menceritakan sejak Aina berpindah sekolah, Aina seronok. Balik rumah dari sekolah, pelbagai perkara Aina ceritakan pada keluarganya hampir setiap hari. Doktor beritahu bahawa punca stress juga boleh memburukkan lagi ekzema yang dihadapi oleh Aina sebelum in. Ibunya melahirkan rasa syukur. Rupanya bahagia dan rasa seronok boleh kurangkan simptom ekzema.

Tulisan ini juga ada di dalam Buku ‘Manifesto Sekolah Masa Hadapan’ terbitan ABIM (2017)