book, asia, children

Fungsi Pendidikan

Murid darjah 1 atau 7 tahun sudah dibebankan dengan beg yang berat, kerja rumah, silabus pembelajaran yang semakin sukar atas nama KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi),  masalah buli, murid yang tertekan dan lain-lain lagi kesan yang tidak sihat. Sekolah sudah menjadi tempat yang tidak menyeronokkan terutama kepada murid yang lemah dalam mata pelajaran.

Apa yang berlaku ini banyak sudah tidak selari dengan tujuan pendidikan.

Tujuan pendidikan di sekolah bukan hanya untuk bersaing dapat berapa banyak A dalam setiap peperiksaan. Sekolah seharusnya menjadi rumah kedua yang menyeronokkan untuk dihuni.

Pendidikan seharusnya melahirkan manusia yang beradab, bertatasusila dan berakhlak santun. Fungsi sekolah bukan hanya membekalkan murid pintar akademik yang memenuhi impian ibubapa untuk ke menara gading. Bukan juga untuk menjawat pekerjaan yang sudah sedia ada dalam sektor kerajaan atau swasta. Hari ini, sekolah perlu berperanan bagi melahirkan murid yang mencipta peluang pekerjaan, memajukan ekonomi negara dan menjadi kumpulan manusia yang sentiasa mencari cara terbaik dalam menyelesaikan masalah manusia dan alam.

Menyediakan modal insan yang memenuhi permintaan pasaran masa kini dan masa mendatang adalah satu proses yang menyeluruh bermula daripada sistem pendidikan. Sejauh manakah sistem pendidikan negara pada hari ini mampu melahirkan anak muda yang bebas minda subsidi dan pandai berdikari seawal usia?

Modal insan dan bakat

Menurut Kamus Za’ba, modal adalah kelebihan yang dimiliki, sama ada kecantikan, kepintaran, kekayaan dan nama baik yang digunakan untuk mendapatkan sesutu yang dihajati. Manakala insan didefinisikan sebagai manusia. Menurut Mariam (2007) pembangunan modal insan adalah usaha untuk membangunkan keupayaan yang dimiliki oleh manusia itu sendiri. Khairul Rizal (2006) menterjemahkan modal insan sebagai ‘human capital’.

Human capital atau modal insan bukan semata-mata pekerja sebagai kuli dan melaksanakan tugasan mereka sebagaimana yang telah ditetapkan. Pada hari ini, pekerja dianggap modal di mana apabila pekerja meningkatkan tahap pengetahuan, mengembangkan potensi bakat, intelektual dan emosi serta kemahiran dengan memajukan tempat mereka bekerja dan seterusnya meyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.

Gary S. Becker yang merupakan sarjana dalam bidang ekonomi menekankan bahawa perbelanjaan terhadap pendidikan, latihan, penjagaan kesihatan dan banyak lagi merupakan suatu pelaburan terhadap modal insan. Mereka menggelarkan modal insan kerana manusia tidak boleh dipisahkan dengan pengetahuan, kemahiran atau nilai. Istilah modal insan atau ‘human capital’ telah digunakan oleh sarjana pengurusan merujuk kepada kunci memperbaiki aset organisasi dan pekerja untuk meningkatkan produktiviti bagi membolehkan mereka bersaing menjadi yang terbaik (Becker, 1964; Schultz, 1971).

“Orang yang menang adalah orang yang menyedari bakat yang dikurniakan kepadanya. Dengan bakat itu, mereka mengasah kemahiran-kemahiran bagi mencapai matlamat hidupnya.” – Larry Bird

Berbeza sedikit dengan bakat. Bakat merupakan potensi yang dimiliki oleh seseorang sejak lahir lagi. Klien (1984) menerangkan bakat sebagai potensi diri yang boleh berkembang dan diperluaskan. Binet (1981) pula mendefinisikan bakat sebagai kemampuan potensi dan karakter diri yang memang sudah ada dalam diri seseorang. Bakat merupakan kualiti yang dimiliki oleh setiap individu dan ianya mempunyai perbezaan di antara satu individu dengan individu yang lain dalam bidang-bidang tertentu. Bakat merupakan salah satu daripada kemampuan manusia dan dapat dikembangkan dengan latihan yang berterusan (Woodwort dan Marquis, 1957).

Bakat menjadi sumber manusia yang semakin diperlukan pada masa hadapan. Bakat yang diperlukan pada masa hadapan memerlukan kepada sumber manusia yang cekap berfikir, menganalisis sesuatu peluang dan masalah, membuat keputusan dan melaksanakannya. Bakat itu yang utama. Jadi bakat apakah yang diperlukan oleh setiap anak untuk mereka berjaya mengharungi zaman akan datang?

Tulisan ini juga ada di dalam Buku ‘Manifesto Sekolah Masa Hadapan’ terbitan ABIM (2017)