IMG 20171001 135849 1024x768

Bisnes Susah Berkembang

Petang itu, tidak seperti biasa. Saya ambil anak-anak dari sekolah. Kebiasaannya itu adalah tugas suami saya.

Kami singgah di sebuah gerai tepi jalan. Sudah lama perhatikan gerai ini. Sentiasa ramai orang. Persepi saya mesti sedap. Selepas memparkir kereta di tepi gerai tersebut, kami menyertai orang-orang yang sibuk mengambil lauk-pauk dan membuat pesanan.

Di celahan orang yang macam semut kerumun gula, saya lihat ada nasi kerabu, nasi dagang, lauk campur dan kuih-muih. Dah lidah Kelantan, nasi kerabu juga yang nampak sedap. Anak-anak pun minta nasi kerabu.

Lama juga menunggu giliran. Ada 5 orang pekerja. Tangkas sungguh mereka memenuhi permintaan pelanggan. Melalui tindak tanduk & cara panggilan, saya andaikan 4 daripadanya adalah anak-beranak.

‘Uniknya’, setiap pekerja itu akan rujuk pada ‘tauke’ mereka harga tapau nasi beserta lauk yang diminta pelanggan. Ada masanya saya lihat, walau pun untuk pengesahan harga juga akan dirujuk. Tak menang tangan si tauke tersebut. Pun begitu beliau sangat cekap, sambil mnyediakan makanan yang diminta pelanggan, sambil buat pengesahan harga dan meletakkan harga yang ditanya oleh pekerja-pekerja beliau.

Multi-tasking! Saya kagum!

Setelah menerima pesanan, kami beredar dan masuk ke dalam kereta. Sementara enjin sedang dihidupkan, tiba-tiba Adawiyyah bertanya pada saya, “Bonda, bonda perasan tak? Pekerja gerai tadi asyik duk tanya boss dia harga makanan…”

“Hmmmhhhh…. What do you think?” Jantung saya berdegup kencang dapat soalan semacam ini. Pun begitu muka mesti control tenang.

Adiknya yang sedang mengunyah kuih pula menyampuk. “Betullah. Satu-satu nak kena tanya, Lambatlah! Pelanggan kena tunggu lama.”

Tergelak pula mendengar Sumaiyah membebel. Saya bertanya lagi, “Agak-agaklah apa yang sepatutnya mereka buat?”

Adawiyyah menjawab, “Sepatutnya boss gerai tu buatlah list harga. Jadi, pekerja boleh letak harga sendir dengan ada panduan tersebut.” Sampuk Sumaiyah pula, “Ataupun boss dia ajarlah. Macam ini, yang ini 5 ringgit. Jika pekerja jawab tak betul, boss kena suruh pekerja cuba sekali lagi….” Panjang lebar pula beliau terangkan, agaknya beliau fikir boss tersebut perlu mnajar pekerja-pekerjanya sama macam cikgu di sekolah.

Kali ini Adawiyyah pula membebel, “Bayangkan, apa jadi kalau tiba-tiba boss dia demam tak datang gerai? Hmmmh…. Macam mana tu bonda…..? Lepas tu kan bonda…sampai bila-bila pun pekerja dia jadi tak pandai. Kalau bisnes nak maju, kita mesti latih pekerja jadi pandai, kan….? Jadi, pekerja pandai, pekerja dia bolehlah letak harga sendiri, bos tak datang gerai pun tak apa…”

Saya percaya, apa yang mencetuskan perbincangan begini adalah hasil daripada proses pembelajaran anak ini di sekolah dan persekitaran mereka.

Mereka memerhati, berfikir, mencari jawapan, mengintai peluang dan menambah nilai dalam kehidupan makhluk lain. Benarlah! Sekolah adalah tempat untuk membentuk budaya berfikir.