“Nabi buat macam mana?”
Ini soalan pertama yang akan ditanya oleh Puan Ainon Mohd, pengerusi Kumpulan Pendidikan ABS setiap kali apabila bisnes berhadapan dengan isu & konflik.
Sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Nabi lagi Rasul, Beliau merupakan seorang pedagang. Dari usia 8 tahun, Beliau sudah pun menceburi bidang perniagaan apabila mula menjaga binatang ternakan kepunyaan orang kaya. Selepas 4 tahun Beliau menceburkan diri dalam sektor perkhidmatan, Beliau mula mengikuti Abu Talib dan belajar selok belok perniagaan dalam sektor perdagangan pula.
Sehinggalah pada usia 18 tahun, Abu Talib perkenalkan Beliau kepada Siti Khadijah yang kemudiannya Khadijah menawarkan Bbeliau untuk menjadi rakan kongsi dengan memperdagangkan barangan dagangan Khadijah. Selama 3 tahun Khadijah menghantar Maisarah untuk mengikut rapat dan melaporkan prestasi perniagaan yang sedang dijalankan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Khadijah.
Selepas Nabi berkahwin dengan Khadijah, beliau masih meneruskan perniagaannya. Sewaktu itu Islam belum lagi diturunkan, maka sudah tentu peraturan & undang-undang Islam berkaitan perniagaan atau muamalah belum lagi wujud. Jadi, kita percaya bahawa Nabi berdagang mengikut prinsip moral & nilai-nilai Al Amin. Jenama Al Amin melekat kuat dengan Nabi, dibina sejak Nabi masih kecil. Tiada siapa mempertikaikan jenama tersebut dalam diri Nabi.
Selepas Nabi dilantik sebagai Rasulullah SAW dan ditugaskan menyebarkan dakwah Islam ke seluruh umat manusia, Nabi tidak lagi berniaga. Pada usia 40 tahun, Nabi sepenuhnya menumpukan perhatian dalam kerja-kerja dakwah. Sehinggalah ke akhir hayatnya Nabi sudah menunjukkan model terbaik sebagai seorang ketua negara, ayah, suami dan juga guru.

